Penderaan seksual kanak-kanak Pakistan. Ikuti kisah sedih mereka.


IBU mangsa-mangsa penderaan seksual berkumpul di sebuah rumah di kampung Hussain Khan Wala, Punjab, Pakistan.


MASA depan seorang kanak-kanak lelaki yang ingin dikenali sebagai Lateef, 16, menjadi suram apabila sekumpulan lelaki melakukan penderaan seks terhadapnya lima tahun lalu.
Lateef bukan sahaja menjadi mangsa perbuatan keji itu tetapi sekumpulan lelaki tersebut turut merakam kejadian dia diliwat oleh tujuh hingga lapan orang secara bergilir-gilir di dalam sebuah rumah terbiar.
Seminggu selepas kejadian itu, lelaki-lelaki tersebut menemuinya dan menunjukkan rakaman video itu sambil mengugut untuk disebarkan sekiranya dia enggan mengikut permintaan mereka.
Lateef ialah salah seorang daripada 280 kanak-kanak yang telah didera secara seksual oleh sekumpulan 25 orang lelaki di Kampung Hussain Khan Wala, barat daya Lahore yang terletak di dalam wilayah Punjab, Pakistan.
Beribu-ribu salinan rakaman video seks terhadap kanak-kanak lelaki dan perempuan dijual oleh sindiket yang berpangkalan di kampung itu pada harga 50 rupee (RM3.10)
Menurut ibu Lateef, anaknya telah menjadi mangsa ugutan kumpulan lelaki itu sejak lima tahun lalu. Mereka sekeluarga terpaksa menyerahkan wang seperti diminta dan tidak membuat laporan polis kerana takut dicederakan.
Menurut salah seorang ibu mangsa yang enggan dikenali, dia terpaksa membayar sejumlah wang kepada sekumpulan lelaki sejak 2011 apabila mereka bertindak merakam video seks anaknya.
Sementara itu, seorang bapa, Muhammad Ashraf, terkejut apabila mendapat tahu anaknya yang kini berusia 20 tahun turut menjadi mangsa penderaan tersebut lima tahun lalu tetapi tidak memberitahu kepada keluarga mengenai perkara itu.
“Selepas klip video itu muncul kira-kira dua bulan lalu, baru kami tahu mengenai peristiwa hitam tersebut.
“Anak saya terganggu dan sedih. Dia meminta kami membuat laporan mengenai kes itu,” katanya.
Akibat ingin menutup aib, sesetengah kanak-kanak terpaksa mencuri barang kemas dan wang daripada ibu bapa mereka untuk diberikan kepada kumpulan lelaki itu agar video tersebut tidak disebarkan.
Rakaman lucah
Video-video tersebut kebanyakannya dijual kepada laman web lucah di luar negara.
Penggambaran perlakuan seks terhadap kanak-kanak itu bermula pada tahun 2006 dan berterusan hingga tahun lalu apabila 400 pita video itu telah ditemui. Kebanyakan mangsa yang terlibat seawal usia enam tahun.
Dalam satu klip video memaparkan seorang budak lelaki telah dicabul oleh lima hingga enam orang lelaki secara bergilir-gilir. Dia kelihatan sangat takut dan diperlakukan sangat ganas tanpa perikemanusiaan.
Video-video seks itu telah dirakam di kawasan semak, dalam tandas, rumah terbengkalai dan bilik tidur.
Analisis yang dilakukan oleh wartawan British Broadcasting Corporation (BBC) di Islamabad, Ilyas Khan, mendapati, penderaan seks kanak-kanak meluas di kawasan luar bandar.
Sebanyak 3,500 kes pencabulan kanak-kanak dilaporkan pada tahun lalu, 16 peratus telah dilaporkan melibatkan kawasan luar bandar.

Seramai 400 orang penunjuk perasaan yang terdiri daripada ibu bapa mangsa dan aktivis membantah penderaan seksual terhadap kanak-kanak.


Ramai mangsa takut untuk melaporkan kes penderaan itu. Oleh itu, ia memberi peluang kepada si pelaku untuk bebas melakukan pemerasan ugut dan penderaan seks terhadap kanak-kanak secara berleluasa.
Tragedi itu telah membangkitkan kemarahan ibu bapa, orang ramai serta aktivis hak asasi manusia dengan menyuarakan bantahan terhadap penganiayaan kanak-kanak di wilayah itu.
Pada 4 Ogos lalu, seramai 400 orang mengadakan bantahan di bandar Kasur berdekatan Lahore. Mereka menuduh pihak polis dan ahli politik tempatan melindungi ahli kumpulan yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.
Beberapa penunjuk perasaan kelihatan bertempur dengan polis yang menyebabkan 24 orang tercedera apabila polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perusuh.
Dalam pada itu, seorang aktivis undang-undang yang mewakili keluarga mangsa pencabulan terhadap kanak-kanak, Latif Ahmed Sara berkata, kumpulan lelaki itu mengancam untuk menyebarkan video tersebut sekiranya ibu bapa mangsa enggan membayar wang kepada mereka.
Menurut Sara, sejak tahun 2007, media tempatan melaporkan, lebih 400 video yang merakam perlakuan seks terhadap kanak-kanak di bawah 14 tahun dilakukan di Kampung Hussain Khan Wala. Rakaman itu turut memaparkan mereka dipaksa melakukan perbuatan seks sesama sendiri.
“Kira-kira 300 video seks kanak-kanak itu telah disebarkan dan setiap saat anak-anak di kampung ini terdedah kepada perbuatan keji tersebut,” kata Sara.
Ketua Biro Perlindungan Kanak-Kanak di wilayah itu, Saba Sadiq, menyifatkan kes tersebut sebagai yang terbesar dalam sejarah penderaan kanak-kanak di Pakistan.
Siasatan
Rentetan daripada itu, Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif telah mengarahkan siasatan bebas dilakukan ke atas kes tersebut.
“Penjenayah yang bertanggungjawab dalam kes itu akan dijatuhkan hukuman. “Keluarga mangsa akan diberikan keadilan,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri.
Laporan awal yang dikeluarkan oleh kerajaan wilayah Punjab, menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘tidak berasas’.
Bagaimanapun, laporan itu ditolak oleh media dan para aktivis hak asasi manusia dengan mengatakan pegawai-pegawai yang menjalankan siasatan itu berat sebelah.
Sementara itu, ketua polis kawasan itu, Shahzad Sultan berkata, kejadian tersebut sudah lama berlaku dan tujuan penduduk membuat laporan adalah untuk menjatuhkan kumpulan yang terlibat dalam masalah pertikaian tanah. Mereka menuduh kumpulan itu kononnya terlibat dalam penderaan seks terhadap kanak-kanak.
Menurut Shahzad, kebanyakan mangsa dan ahli-ahli kumpulan adalah dari kampung Hussain Khan Wala. Mereka yang didakwa sebagai mangsa sebenarnya melakukan perbuatan itu secara sukarela dengan tujuan untuk berseronok.
Sementara itu, pegawai-pegawai daerah di Punjab mengecilkan bilangan kes tersebut dengan mendakwa hanya tujuh laporan diterima pihak polis,
Setakat kini, mereka hanya menemui 30 rakaman video. – Agensi

Sumber : Kosmo
Share on Google Plus
}); });