CHENGDU, CHINA - Selepas melanggar seorang kanak-kanak, penunggang motosikal terbabit berjanji akan menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Tetapi lelaki itu menghumban mangsa ke dalam tong sampah.
Penjual buah tembikai, Zhang, berkata, dalam kejadian yang berlaku ketika waktu hujan pada pagi 18 Julai lalu, dia ternampak penunggang motosikal itu melanggar mangsa di luar pasar Chengdu.
Kaki kiri mangsa digilis tayar motosikal tersebut dan ditinggalkan dalam keadaan cedera dan menangis di jalan, sambil memanggil ibunya.
Menurut mangsa, ibunya bekerja di dalam pasar raya berhampiran, namun orang awam tidak dapat mencari ibunya.
Selepas 10 minit berlalu dan ibunya tidak munculkan diri, penunggang motosikal berkenaan berkata dia akan membawa mangsa ke hospital dengan motosikalnya. Orang ramai percaya dan membenarkan lelaki itu berlalu pergi dengan mangsa.
Bagaimanapun, setelah berada dua kilometer dari tempat kejadian, penunggang motosikal itu menghumban mangsa ke dalam tong sampah sebelum melarikan diri. Tindakan lelaki itu disaksikan oleh beberapa orang awam berhampiran yang kemudian datang memeriksa tong sampah tersebut sebelum menemui mangsa.
Mangsa kemudian dihantar ke hospital dengan ambulans dan polis juga berjaya mengesan dan memaklumkan kepada bapa mangsa yang berada di wilayah Qinghai pada ketika itu. Bapa mangsa kemudian menghubungi isterinya memaklumkan kejadian yang menimpa anak lelaki mereka.
Menurut ibu mangsa, pada hari kejadian dia sedang sibuk menguruskan pembukaan kedai makannya yang berada di dalam pasar raya tersebut dan tiada masa untuk memerhatikan anak lelakinya itu.
Lapor media tempatan, kedai wanita itu hanya 50 meter dari tempat kejadian di mana anaknya dilanggar dan kesan darah masih kelihatan di jalan raya itu.
Pemeriksaan doktor mendapati tulang kaki kiri patah dan mengalami kesan calar dan lebam. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan jika mangsa akan menanggung kesan jangka masa panjang dari kemalangan itu.
Sementara itu, polis Chengdu kini sedang mengesan penunggang motosikal tersebut dan menawarkan 2,000 yuan (RM1,268.92)kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk menahan suspek.