Tidak kenal bapa sendiri



CHARLOTTE terpaksa ditahan di wad selama beberapa hari untuk pemantauan doktor sehingga menyebabkan dia tak ke sekolah selama 20 minggu.

DEAN Parsons, 42, melambai anak perempuannya sejurus selepas menghantar gadis itu ke sekolah pada pagi Mei lalu. Dia kemudian meneruskan perjalanan untuk ke tempat kerja seperti biasa.

Kira-kira dua jam kemudian, Dean menerima panggilan daripada seorang guru sekolah anaknya, Charlotte Parsons. Wanita itu memberi­tahu bahawa Charlotte kurang sihat dan dia diminta untuk membawa gadis itu pulang ke rumah.

Dean kemudiannya memecut ke sekolah Charlotte untuk mengambilnya dan amat terkejut apabila anaknya itu berkata dia tidak mengenali siapa Dean.

Dean bagaimanapun menganggap anaknya itu hanya bergurau. Dia terus membawa Charlotte ke hospital tetapi gadis berusia 13 tahun itu mengenali ibunya, Kelly Parsons, namun masih gagal me­ngenali bapanya.

Tidak ingat

Selepas diperiksa, doktor bahagian kecemasan di sebuah hospital tempatan di Britain mengesahkan Charlotte menghidap satu penyakit pelik yang dipanggil encephalitis.

Encephalitis adalah sejenis penyakit yang menyerang bahagian otak pesakit dan ia boleh membawa maut.

Di Britain, kes tersebut jarang berlaku, namun sekiranya berlaku, ia menyerang kanak-kanak kerana antibodi mereka masih lemah dan belum mampu untuk melawan penyakit itu.

Doktor juga memberitahu, encephalitis boleh menyebabkan masalah hilang ingatan secara kekal selain pesakit berkemungkinan koma apabila meningkat dewasa.

Dean amat terkejut kerana penyakit tersebut menjadikan Charlotte mempunyai memori yang kuat tentang sesuatu perkara yang sudah lama berlaku, namun gagal mengingati bapanya sendiri.

“Dia (Charlotte) sering bercerita tentang seekor kucing yang pernah di­belanya, namun kucing tersebut sudah lama mati,” ujar Dean.

Bagi Kelly pula, dia tidak menyangka penyakit anaknya itu berlaku terlalu pantas.

“Charlotte boleh lupa sesuatu perkara dalam sekelip mata sahaja. Sehingga kini, dia masih belum boleh mengecam bapanya sendiri dan itu membuatkan saya amat sedih.

“Malam sebelum dia jatuh sakit, Charlotte baru sahaja menerima laporan kecemerlangan di sekolah, namun keesokan harinya dia tidak lagi mengenali bapanya.

“Charlotte seolah-olah telah ­dirasuk,” keluh ibu berusia 36 tahun itu seperti dipetik portal Mail Online.

Kelly menambah, anaknya itu bertukar menjadi seorang yang pendiam dan enggan bercerita lanjut tentang kesukarannya mengingati sesuatu perkara.

“Saya rasa, Charlotte mungkin sedang berusaha untuk memahami apa yang sedang berlaku di sekelilingnya dan gadis itu memerlukan sedikit masa,” ujar Kelly.

Charlotte kemudian mengambil keputusan untuk menghasilkan satu video tentang penyakit yang dihidapi­nya bagi membantu gadis itu untuk mengingati semula sesuatu kejadian.

Rakam video

Video tersebut kemudian menjadi viral dan sudah ditonton sehingga 1,000 kali di laman sosial.

Menerusi video tersebut, Charlotte berkongsi kepayahannya dalam meneruskan hidup selepas disahkan menghidap encephalitis.

“Sudah 20 minggu saya tidak ke sekolah dan saya amat rindukan suasana di sana. Saya mahu ke kelas menari dan drama, namun penyakit ini menghalang saya untuk berbuat demikian.

“Saya berdepan kesukaran untuk mengingati banyak perkara, namun hari demi hari saya rasa lebih baik.

“Saya juga mahu orang ramai di luar sana tahu dan sedar tentang bahaya penyakit ini kerana ia penyakit yang jarang berlaku. Tidak banyak maklumat tentangnya yang boleh diperoleh melalui buku mahupun di internet,” ujarnya dalam video tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Encephalitis Britain, Dr. Ava Easton, dia gembira apabila mendapat tahu Charlotte merakam video tentang perjalanannya melawan penyakit itu.

“Kaedah tersebut akan membantu masyarakat di luar sana untuk menge­tahui tentang penyakit ganjil itu dan mengambil langkah awal untuk mencegahnya.

“Buat masa ini, kaedah pencegahan encephalitis adalah dengan mendapatkan suntikan imunisasi measles, mumps dan rubella atau dikenali sebagai MMR dan ia perlu diambil selepas seseorang bayi lahir,” jelas Easton.

Sumber : Kosmo

Share on Google Plus
}); });