Wanita alah teruk terhadap air




DENT akan menggunakan payung bagi mengelakkan air hujan terkena kulitnya.

SEORANG ibu kepada tiga orang cahaya mata terpaksa menanggung derita seumur hidupnya selepas dia mengalami alahan teruk pada kulit.

Alahan yang dialami Candice Dent, 35, itu akan menyebabkan permukaan kulitnya ditumbuhi ruam sehingga menyebabkan rasa pedih dan gatal ketika terkena air.

Lazimnya, alahan tersebut akan timbul di permukaan kulit Dent ketika wanita yang berasal dari Kentucky, Amerika Syarikat itu mandi, berpeluh, menangis, terkena hujan atau sedang membasuh pinggan.

Disebabkan simptom aneh tersebut, Dent didiagnosis mengalami pe­nyakit Urtikaria Aquagenic, satu kea­daan yang menyebabkan kulitnya terasa gatal-gatal sehingga menimbulkan rasa pedih.

Lebih malang apabila penyakit tersebut disusuli dengan penyakit dermatografia iaitu satu keadaan yang menyebabkan permukaan kulitnya menjadi gatal sehingga menimbulkan ruam dan bengkak yang besar.

Air klorin




KULIT Dent mengalami kegatalan teruk jika terkena peluh.

Menurut Dent, selain terpaksa mengelakkan permukaan kulit daripada terkena air, dia juga terpaksa berjaga-jaga dengan fabrik pakaian yang dipakai.

“Penyakit ini berjaya dikesan awal Februari lalu ketika saya sedang mandi di sebuah kolam renang.

“Pada waktu itu salah seorang penjaga kolam datang ke arah saya dan memaklumkan bahawa seluruh badan saya kelihatan lebam dan dipenuhi dengan ruam yang besar.

“Tidak lama selepas ditegur, badan saya mula mengalami kegatalan yang teruk” jelasnya.

Menurut Dent, dia dimaklumkan keadaan tersebut berpunca daripada alahan terhadap klorin.

Doktor kemudian mengarahkan Dent untuk meneliti kandungan klorin di dalam kolam renang setiap kali ingin mandi di kawasan tersebut.

Bagaimanapun jelas Dent, sejak daripada insiden tersebut, kulitnya akan membengkak dan gatal serta-merta setiap kali selepas terkena air walaupun ketika sedang berpeluh.

“Saya kemudian merujuk semula masalah ini kepada doktor dan dia mendiagnosis saya dengan alahan terhadap air iaitu Urtikaria Aquagenic.

“Oleh kerana penyakit tersebut masih baru, jadi doktor tidak dapat membekalkan saya dengan sebarang ubat-ubatan spesifik melainkan ubat gatal dan alahan iaitu antihistamin,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut Dent, ubat gatal dan antihistamin yang dibekalkan oleh doktor tidak memberikan sebarang perubahan kepada dirinya.

Kesan gelembung




KESAN alahan yang dialami selepas membasuh pinggan.

Menurut Dent lagi, biarpun berhadapan alahan terhadap air, dia tetap menjalankan rutin harian seperti manusia normal yang lain iaitu mandi, berjalan dalam hujan dan bersenam walaupun aktiviti tersebut mampu menyebabkan kulitnya berpeluh dan meninggalkan kesan gatal-gatal.

“Saya sering ditanya soalan-soalan yang menjengkelkan daripada orang sekeliling.

“Ada antara mereka bertanya adakah saya tidak mandi kerana alahan yang dialami.

“Sebenarnya, kulit saya akan menjadi lebih gatal jika tidak mandi. Jadi mahu atau tidak, saya tetap akan mandi dan menyiramkan badan dengan air.

“Saya juga terpaksa menahan diri daripada menggaru badan kerana ia akan meninggalkan kesan lebih buruk pada kulit,” jelasnya.

Ujar Dent, kulitnya akan menjadi terlalu gatal dan mengeluarkan gelembung yang sangat hodoh terutamanya ketika berpeluh.

Selain alahan terhadap air, Dent juga tidak boleh memakai stoking kerana ia akan menyebabkan kakinya berpeluh dan gatal.

Dia juga tidak boleh menggunakan jam tangan atau berbaring di atas fabrik berbulu.

“Kini saya sedang mengumpulkan maklumat mengenai penyakit yang dialami melalui internet.

“Bagaimanapun, saya bersyukur ke­rana penyakit ini hanyalah satu alahan dan bukan kanser yang boleh mengundang kematian,” jelasnya.


Sumber : Kosmo

Share on Google Plus
}); });