DHAKA – Myanmar sedang melakukan “penghapusan etnik” penduduk Islam Rohingya, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika kisah kekejaman seperti rogol beramai-ramai, penyeksaan dan pembunuhan diceritakan pelarian Rohingya di Bangladesh.
Sehingga 30,000 etnik itu meninggalkan rumah mereka untuk melarikan diri daripada keganasan yang berlaku, kata PBB selepas tentera dikerahkan ke Negeri Rakhine, barat Myanmar yang didiami penduduk majoriti Rohingya awal bulan ini.
Dalam satu wawancara bersama Perbadanan Penyiaran British, ketua agensi pelarian PBB di bandar Cox Bazar di sempadan Bangladesh, John McKissick berkata, tentera Myanmar membunuh kaum lelaki dan kanak-kanak, merogol kaum wanita, membakar rumah etnik Rohingya serta memaksa mereka menyeberangi sungai menuju ke Bangladesh.
Sementara itu, kerajaan Bangladesh menolak rayuan antarabangsa supaya membuka sempadannya bagi mengelak krisis kemanusiaan daripada berlaku.
Dhaka sebaliknya menyatakan, Myanmar perlu meningkatkan tindakan untuk menghalang etnik minoriti Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan daripada memasuki Bangladesh.
“Sangat sukar untuk kerajaan Bangladesh membuka sempadan kerana tindakan ini akan menggalakkan kerajaan Myanmar meneruskan kekejaman dan mengusir etnik Rohingya sehingga matlamat akhir penghapusan etnik Islam Rohingya di Myanmar tercapai,” kata McKissick.
Komen beliau bagaimanapun diselar oleh Zaw Tay yang merupakan jurucakap Presiden Myanmar, Htin Kyaw.
“Saya mahu mempersoalkan etika dan profesionalisme yang perlu dipatuhi dan dihormati oleh kakitangan PBB.
“Beliau sepatutnya bercakap berdasarkan fakta sebenar, bukan menuduh sembarangan,” kata Zaw Htay.
Dakwaan penghapusan etnik itu bukan kali pertama dilontarkan terhadap kerajaan Myanmar.
Pada April 2013, badan pemerhati hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) berkata, tentera Myanmar melakukan penghapusan etnik terhadap penduduk Rohingya, bagaimanapun tuduhan tersebut dinafikan oleh Presiden Myanmar ketika itu, Thein Sein.
Disebalik penafian Yangon, penderitaan penduduk Rohingya diluahkan seorang pelarian di Cox Bazar, Mohammad Ayaz.
Dia berkata, tentera Myanmar menyerang kampung halaman dan membunuh isterinya yang sarat mengandung.
Sambil mendukung anaknya yang berusia dua tahun, Mohammad berkata, askar Myanmar membunuh sekurang-kurangnya 300 penduduk kampung dan merogol berpuluh-puluh wanita sebelum membakar kira-kira 300 buah rumah, kedai milik orang Islam dan masjid tempat dia berkhidmat sebagai imam.
“Mereka menembak mati isteri saya, Jannatun Naim. Dia berusia 25 tahun dan sedang hamil tujuh bulan,” kata Mohammad.
Dakwaan Mohammad itu seiring dengan laporan HRW pada minggu bahawa pihaknya telah mengenal pasti lebih 1,000 buah rumah di perkampungan Rohingya di Rakhine telah dibakar berdasarkan penelitian n imej satelit. – AFP
Sumber : Kosmo