Hidup bagai di neraka dunia!!! Untuk terus hidup kami menggali parit dan meletakkan lalang kering untuk tidur.


“KAMI diganggu serta dipukul, rumah kami pula dibakar.
“Untuk terus hidup kami menggali parit dan meletakkan lalang kering untuk tidur. Tiada makanan untuk dimakan dan kami kerap diburu oleh kumpulan perusuh,” jelas Abu Siddiq kepada media antarabangsa Al Jazeera.
Abu Siddiq merupakan salah seorang masyarakat kaum minoriti Islam Rohingya yang pernah merasai kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan perusuh Buddha terhadap keluarganya dan komuniti Rohingya di Myanmar.
Masyarakat minoriti Islam di Rohingya dipukul, diganggu, dibunuh dan rumah mereka dibakar kumpulan perusuh semasa berlaku keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine, Myanmar pada tahun 2012.
Disebabkan bimbang akan tahap keselamatan pada waktu itu, Abu Siddiq kemudiannya menyertai lebih 120 pelarian lain menaiki sebuah bot yang penuh sesak menuju ke Malaysia, namun bot itu diarah berpatah balik dan tiba di perairan Thailand.
Bagaimanapun, bot yang mereka naiki ditahan oleh sindiket pemerdagangan manusia yang melarikan mereka menggunakan bot laju. Mereka kemudiannya membawa etnik Rohingya ke darat untuk dikurung bagi tujuan mendapatkan wang tebusan.
Tambahnya, dia menghubungi saudaranya untuk meminta tolong membayar wang tebusan. Selepas membayar wang tebusan dia dibebaskan oleh sindiket di Thailand yang kemudiannya mereka dibebaskan di Malaysia.
Di Malaysia, Abu Siddiq bekerja sebagai pencuci longkang namun dia hidup dalam ketakutan, kerana bimbang diusir selepas tidak mempunyai status yang sah di negara ini.
Abu Siddiq antara sebahagian Rohingya yang bebas sepenuhnya daripada kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan masyarakat Buddha dan tentera Myanmar kerana dapat meninggalkan negara itu.
Rohingya adalah kumpulan minoriti Islam yang tinggal di bahagian utara negeri Rakhine di barat Myanmar.
Walaupun telah tinggal di Myanmar selama beberapa dekad lamanya masyarakat Buddha masih melihat etnik Rohingya sebagai pendatang haram.
Pada tahun 1982, satu undang-undang telah digubal bagi menafikan hak kewarganegaraan penuh Rohingya.
Undang-undang itu membenarkan pihak pemerintah merampas harta milik bangsa Rohingya dan mereka ditindas dengan kejamnya.
Namun masih terdapat ramai komuniti Rohingya di Myanmar yang kini hidup bagaikan di neraka dunia apabila terus menjadi mangsa kekejaman.
Baru-baru ini sekumpulan wanita dan kanak-kanak Rohingya telah menjadi mangsa kekejaman terbaharu tentera Myanmar di Rakhine apabila dikurung dan dibakar hidup-hidup lapor agensi berita RB News.
Tentera Myanmar dilaporkan telah mengunci rumah dan kemudiannya membakar mereka hidup-hidup di perkampungan Yay Khae Chaung Khwa Sone, di Utara Maungdaw.
Hapus etnik
Kekejaman tentera Myanmar itu tidak berakhir di situ sahaja malah menurut penduduk tempatan mereka juga melepaskan tembakan ke arah penduduk Rohingya yang mahu melarikan diri.
Dalam pada itu, dalam satu kenyataan Pertubuhan Arakan Rohingya Kebangsaan, itu hanyalah sebahagian penderitaan yang ditanggung oleh etnik minoriti Rohingya yang menjadi sasaran tentera serta penduduk Buddha sejak bulan lalu.
Pertubuhan itu mengutuk sekeras-kerasnya cubaan penghapusan etnik Rohingya yang dilakukan pihak pemerintah dalam pelbagai bentuk termasuk pembunuhan beramai-ramai, rogol dan merampas harta penduduk.
Tentera Myanmar turut menggunakan helikopter, meriam dan kereta kebal ketika menggempur kampung-kampung etnik Rohingya.
“Mereka yang cuba melarikan diri akan dihalang dan ditembak menggunakan mesingan di sawah-sawah padi dan anak sungai.
“Antara kampung yang menjadi sasaran tentera adalah Myaw Taung, Dargyizar, Yekhechaung Kwasone, Pwinpyu Chaung, Thu Oo La, Longdun, Kyin Chaung dan Wabaek di utara Maungdaw,” jelas kenyataan badan itu.
Sejak ketegangan meletus di Rakhine pada 9 Oktober lalu, angka korban penduduk Rohingya kini mencecah 350 orang manakala 300 yang lain cedera.
Menurut badan tersebut, ramai gadis dan wanita dirogol sementara lelaki pula ditahan tanpa sebab kukuh.
Selain itu, sebanyak 3,500 buah rumah dibakar atau dimusnahkan, mengakibatkan sekurang-kurang­nya 30,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Dikecam

Sementara itu, beratus-ratus penduduk Islam Rohingya dilaporkan melarikan diri ke Bangladesh bagi mengelak daripada terus menjadi mangsa keganasan tentera Myanmar.
Namun ada antara mereka ditembak mati oleh pasukan keselamatan Myanmar ketika cuba menyeberangi Sungai Naf yang memisahkan negara itu dengan Bangladesh.
Lebih malang lagi, penduduk yang cuba memasuki sempadan Bangladesh itu dengan bot telah dihalang oleh pasukan pengawal sempadan Bangladesh dan mereka dipercayai terkandas di laut.
Pegawai pemerintah Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) sektor Cox’s Bazar di timur Bangladesh, Leftenan Kolonel Anwarul Azim berkata, sebanyak 86 etnik Rohingya termasuk 40 wanita dan 25 kanak-kanak diusir dari pintu sempadan Teknaf ketika cuba memasuki Bangladesh menggunakan dua buah bot.
Sementara itu, agensi berita Reuters melaporkan, Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dikecam kerana gagal menangani krisis di Rakhine yang memiliki majoriti penduduk beragama Islam selepas pihak tentera dituduh merogol dan membunuh penduduk awam serta menyekat akses kepada pekerja bantuan.
Operasi tentera di Rakhine, utara Myanmar itu memburukkan lagi ketegangan antara pentadbiran awam Suu Kyi yang berusia enam bulan dengan pihak tentera.
Junta tentera memerintah Myanmar selama beberapa dekad dan memiliki kuasa utama termasuk mengawal kementerian yang bertanggungjawab menangani isu keselamatan.
Seorang pegawai kanan awam berkata, komander-komander tentera enggan menyalurkan maklumat berhubung dakwaan salah laku sebilangan tentera negara itu.
Tentera Myanmar memasuki Rakhine, dekat sempadan Bangladesh selepas pemberontak membunuh sembilan anggota polis kawalan sempadan dalam serangan terancang pada 9 Oktober lalu.
Sejak itu seramai lima askar dan sekurang-kurangnya 33 pemberontak terbunuh dalam pertempuran askar Myanmar dengan sebuah kumpulan yang dianggotai kira-kira 400 pejuang etnik Islam Rohingya.
Perlembagaan Myanmar memberi kuasa penuh kepada tentera dalam isu keselamatan, namun ramai diplomat dan pekerja bantuan berpendapat, mereka secara peribadi kecewa kerana Suu Kyi enggan terlibat dengan lebih mendalam bagi menangani krisis itu.
Selain menjawat jawatan Menteri Luar, Suu Kyi juga menerajui pemerintahan sebagai penasihat negara. Di sebalik perkembangan membimbangkan di Rakhine, Suu Kyi lebih menumpukan perhatian kepada rangka lawatannya ke luar negara.
Pakar-pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mendesak kerajaan Myanmar supaya menyiasat dakwaan penderaan dan salah laku tentera. Badan dunia itu juga meminta Yangon membenarkan bantuan dihantar ke Rakhine.
Namun, Suu Kyi tidak memberi jawapan secara langsung mengenai permintaan tersebut.
Dalam pada itu, Pengkaji Etnik Rohingya di Institut Asia Eropah, Universiti Malaya (UM), Azlinariah Abdullah berkata, berdasarkan tesis doktor falsafah (PhD) yang sedang disiapkannya berkaitan etnik Rohingya, faktor ekonomi menjadi salah punca pergolakan yang berlaku selain perbezaan agama.
Menurut beliau, Rohingya adalah kumpulan minoriti di Myanmmar. Mereka menguasai industri perikanan terutamanya di Rakhine.
“Dari situ, timbul rasa tidak puas hati masyarakat Buddha terhadap Rohingya. Atas sebab itu, mereka sengaja menimbulkan pergolakan dalam usaha untuk menghapuskan etnik tersebut.
“Maklumat ini saya peroleh daripada hasil temuramah lebih 100 warga Rohingya yang tinggal di Malaysia yang berlainan status dan 20 orang Rohingya yang tinggal di seluruh dunia,” katanya.
Disebabkan pergolakan dan kekejaman itu ramai etnik Rohingya melarikan diri ke negara terdekat untuk membina kehidupan baharu.


Sumber : Kosmo
Share on Google Plus
}); });