Kalau nak mati, jangan bawa nyawa orang lain - Netizen


JERTEH, TERENGGANU - "Saya memandu waktu petang untuk pulang ke rumah, bukan mahu pulang ke rahmatullah," demikian kata Nazrin Haikal Ruslan yang kesal dengan tindakan pemandu bas ekspress yang memandu secara berbahaya. 

Menurut Nazrin, kejadian itu berlaku pada jam 4.52 petang semalam ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah di jalan Kuala Terengganu - Besut, berhampiran Kampung Guntong Luar. 

Dalam status yang dimuat naik pagi tadi, Nazrin cuba melaporkan dan memuat naik video yang mana salah sebuah bas milik Sani Express dipandu secara berbahaya, memotong di garisan berkembar dan menghimpit kenderaannya dengan sebuah lagi kenderaan di hadapannya. 

Namun video yang dimuat naik itu tidak muncul di laman Facebook Sani Express dan menganggap mungkin pihak pengendali laman tersebut telah membuangnya. 


"Lihatlah bas kalian ini dengan bongkaknya membelah jalan raya tanpa mengira keselamatan orang lain. Keselamatan pemandu bas sendiri sudah pasti tidak terlintas langsung bila dia memotong seperti itu. 

"Memotong di atas jambatan, garisan berkembar, menghimpit dua kenderaan dan dua lagi kenderaan dari arah bertentangan terpaksa mengelak demi menyelamatkan nyawa masing-masing. 

"Bas anda hebat, ada teknologi GPS, speed limiter, free WIFI, pemandu pakai uniform segak ala-ala juruterbang. Tetapi pemandu bas yang ini pada hemat saya, layak diambil tindakan sewajarnya," katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Sani Express, Mejar Hj ABu Bakar Mohammad dalam kenyataan media yang disiarkan melalui laman Facebooknya berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai video viral tersebut dan sedang menyiasat perkara tersebut. 

"Tindakan tegas kepada pemandu yang terlibat akan diambil sebaik temusiasat dijalankan dalam tempoh 24 jam. Pihak syarikat tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu bas syarikat yang dengan sengaja melanggar peraturan jalan raya dan tidak menghormati keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain," kata kenyataan itu. 

Dalam kenyataan tersebut, Sani Express menegaskan bahawa pihaknya amat mengutamakan keselamatan penumpang. Malah kesemua pemandu bas pihaknya telah diberi latihan berterusan. 


Malangnya ada, ada segelintir pemandu Sani Express yang masih ingkar dan gagal mengikut arahan semasa memandu bersendiri di jalan raya yang telah ditetapkan oleh syarikat. 

Justeru, Sani Express memberikan jaminan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu terbabit termasuk menamatkan tugas mereka. 
Share on Google Plus
}); });