JOHOR BAHRU - Rakaman video 'dashcam' seorang pemandu Toyota Alphard yang bertelagah dan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsanya, viral di media sosial.
Lapor laman Stomp.sg, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 6.30 petang 14 Mac lalu di Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura.
Menurut isteri kepada pemandu warga Singapura yang terlibat dalam kejadian itu berkata, suaminya pada ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabatnya di Johor Bahru.
"Masa itu, jalan agak sesak. Pemandu itu cuba memotong di hadapan kereta suami saya. Suami saya berhenti dan pemandu itu terus ke depan dan bergesel dengan kereta suami saya.
"Selepas itu dia menyalahkan dan memarahi suami saya," katanya.
Berdasarkan video tersebut, lelaki yang dipercayai suami kepada seorang pelakon wanita tempatan telah keluar dari keretanya dan menghamburkan kata-kata kesat kepada lelaki itu.
Dalam masa yang sama, pelakon wanita itu turut menjenguk dari tingkap kereta bahagian pemandu untuk melihat apa yang berlaku.
Suami pelakon berkenaan cuba meminta maklumat diri lelaki itu, namun tuntutannya tidak diendahkan. Malah lelaki itu mempersoalkan mengapa dia perlu memberi maklumat dirinya sedangkan dia tidak bersalah dalam kejadian tersebut.
Sebelum beredar dari tempat kejadian, suami pelakon berkenaan dilihat menunjukkan isyarat lucah pada mangsa.
Lapor Stomp.sg lagi, keretanya hanya mengalami calar kecil sahaja. Dia juga dikatakan akan membuat laporan polis di Malaysia. - The Reporter