ISTILAH SIAL TIDAK ADA DALAM ISLAM



Banyak orang menyangka bahawa Allah telah mengikatkan kejayaan dan kegagalan seseorang dalam rancangan-rancangannya yang baik dengan waktu-waktu atau dengan hari-hari tertentu. Oleh sebab itu mereka akan enggan melancarkan rancangan-rancangan mereka pada hari-hari tertentu

Begitu juga mereka menyangka bahawa di sana ada jalan untuk mengetahui perkara-perkara ghaib, seperti mengetahui barang-barang curi yang tidak diketahui pencurinya atau mengetahui barang-barang hilang yang tidak diketahui tempatnya. Dalam hubungan ini mereka telah menggunakan fantasi-fantasi yang karut marut hingga menyebabkan mereka menyeleweng dari kebenaran dan menyeleweng dari undang-undang sebab musabab yang dijadikan Allah.

Islam lahir ketika manusia diselubungi kejahilan, dan dikuasai oleh adat-adat yang karut marut. Dari itu Islam memerangi segala rupa kejahilan. Ia menentang kejahian dengan seruan tauhid. Ia membawa dalil-dalil keesaan Allah yang terpenting dalam kejadian-kejadian alam dan kejadian-kejaian diri mereka agar manusia percaya bahawa sifat keagungan, sifat mengetahui segala-gala dan sifat berkuasa mutlak adalah milik Allah yang tunggal sahaja.

Islam juga memerangi sikap bertaklid kepada kepercayaan datok nenek yang karut marut. Demikianlah nilai ilmu pengetahuan dan kebenaran pada pandangan Islam. Tetapi manusia yang gopoh itu merasa lambat untuk menggunakan cara-cara ilmu atau cara menyiasat dan menyelidik. Mereka lebih tertarik kepada cara-cara meraba-raba dan mengagak-agak yang turun temurun untuk mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Mereka cuba meramalkan perkara-perkara ghaib dengan perantaran wali, sami dan bernujum, membaca cawan dan tapak tangan, beristikarah dengan buah tasbij dan dengan al-Quran, juga dengan cara bersangkamara dengan waktu, hari, bulan, tempat, orang-orang, benda-benda, kata-kata dan mimpi-mimpi yang tertentu.

Dengan cara itu mereka merasa sudah dapat menguasai anak-anak kunci perkara-perkara ghaib seperti Allah.

Manusia yang telah dikurniakan akal, daya-daya menyelidik dan mengkaji telah menjatuhkan darjah mereka sendiri. Dengan sikap-sikap mereka yang lemah da serba salah akibat terpengaruh kepada adat-adat dan kepercayaan-kepercayaan tradisional yang karut marut. Sikap mereka yang lemah dan serba salah itulah yang melariskan pasaran perniagaan yang dijaja oleh orang-orang yang mencari makan dengan menipu akal manusia dan menjual khurafat-khurafat yang karut-marut.

Dengan sikap sedemikian, kekukuhan azam manusia dalam perjuangan hidup menjadi lemah, akibat-akibatnya kerja-kerja mereka terbangkalai dan mereka tidak lagimberpegang kepada undang-undang senang dan susah yang diatur sebab musasbabnya oleh Allah. Mereka bersangkamara dengan pandangan-pandangan tertentu atau dengan kata-kata tertentu yang didengarnya atau dengan lintasan burung terbang dari arah-arah tertentu, atau dengan fantasi-fantasi yang ditanam dalam jiwanya oleh tukang-tukang topu, ahli-ahli nujum dan sambi-sami. Malah untuk mengetahui perkara-perkara ghaib dan bersangkarama mereka pernah menggunakan al-Quran dan ayat-ayatnya.

Banyak orang yang enggan mengawini anak perempuannya walaupun sudah bertunang kerana bersangkamara dengan mimpi-mimpi tertentu dan akibatnya anak mereka menjadi dara tua yang kehilangan peluang hidup keemasan.

Banyak ahli-ahli perniagaan yang enggan belayar atau telah mencuaikan perniagaan-perniagaan mereka dengan sebab bersangkamara dengan ramalan seseorang tukang tipu yang dusta.

Banyak orang ditimpa penyakit merbahaya atau wabak hanya berubat dengan menggunakan tangkal, asap kemenyan, azimat pelindung dengan membiarkan penyakit itu merebak pada diri mereka.

Banyak orang menjadi korban penipu-penipu yang mendakwa tahu meramalkan perkara-perkara ghaib.

Tetapi ramalan-ramalan itu terus sahaja merosot, dan andainya kebenaran sesetengah ramalan-ramalan itu telah memberangsangkan lagi orang-orang untuk terus berpegang dengan cara-cara itu, maka di  sana ada pula satu sebab yang lain yang menggalakkan orang-orang yang berjiwa lemah untuk percayakan cara-cara itu ialah adanya lebai-lebai agama yang melakukan kerja-kerja seperti itu.

Akhbar-akhbar dan majalah-majalah juga mengambil bahagian dalam kerja ramalan ini dengan mengadakan ruangan bintang dua belas untuk meramalkan  nasib-nasib baik dan buruk pembaca-pembacanya, sedangkan sepatutnya akhbar-akhbar sebagai sumber pendidikan dan bimbingan.

Al-Quran Mencela Sangkamara

Di zaman purba kaum Musa bersangkamara dengan Musa,“Apabila mereka mendapat kebaikan, mereka pun berkata kebaikan ini adalah hasil usaha kami dan kalau mereka ditimpa mala petaka mereka bersangkamara dengan Musa dan pengikut-pengikutnya”. Ayat 131 Syrah al-A’raf. Kaum Saleh juga bersangkamara dengan Nabi Saleh, “Kata mereka kami bersasngkamara denganmu dan pengikut-pengikutmu”.[Ayat 47, Surah al-Naml].

Lalu Allah menjawab bahawa malapetaka itu bukanlah datang dengan sebab kesialan Rasul-Rasul, malah datang dengan sebab kekufuran, kedegilan dan kecuaian mereka terhadap undang-undang Allah. “Kesialan kamu ada bersama kamu sendiri”. [Ayat 19 Surah Yasin].

Dalam al-Quran Allah memerangkan bahawa pengetahuan ghaib itu hanya dimiliki oleh Allah sahaja. “Pada-Nya [Allah] segala anak kunci ghaib yang tidak diketahui melainkan Dialah sahaja”. [Ayat 59 Al-An’am].

“Terangkanlah [wahai Rasul]  aku tidak menguasai guna dan bahaya bagi diriku melainkan apa yang dikehendaki Allah. Andainya aku mengetahui urusan ghaib tentulah aku mendapat kekayaan yang banyak dan aku tidak ditimpai kesusahan lagi”. [Ayat 188 Surah al-‘Araaf].

Dan cukuplah kepada orang-orang Mukmin berpegang dengan keterangan ayat yang begini jelas, “Sesungguhnya Allah sahaja yang mempunyai pengetahuan tentang hari kiamat. Dia turunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada orang yang dapat mengetahui apa yang dia akan beroleh pada besok hari, tidak ada orang yang mengetahui  di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. [Ayat 34 Surah Luqman].

Ada orang yang berpegang dengan kepercayaan sial atau sangkamara ini cuba berdalil dengan firman Allah waktu menceterakan mala petaka yang menimpai kaum Ad,“Sesungguhnya Kami telah melepaskan ke atas mereka ribut badai yang besar pada hari sial yang berkekalan”. [Ayt 19 Surah al-Qamar].

“Lalu Kami lepaskan ke atas mereka ribut badai yang besar pada hari-hari sial”. [Ayat 61 urah Fusilat].

“Ada pun kaum Ad, mereka telah dibinasakan dengan ribut badai yang besar dan dasyat yang menimpai mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus-terusan”.[Ayat 7 Suran al-Haqqah].

Menurut mereka ayat-ayat ini menunjukkan di dalam hari itu terdapat hari-hari celaka dan sial. KemUdian mereka perkuatkan ayat ini dengan satu Hadis yang katanya diriwayatkan  oleh Ibnu Abbas [ra] iaitu, “Hari Rabu yang akhir dalam satu bulan itu adalah  hari sial yang berkekalan”.

Al-Wasi telah membentangkan dalam tafsirnya segala riwayat-riwayat yang sengaja diada-adakan untuk melariskan kepercayaan sial atau sangkamara atau bersangkaria [menganggapkan baik] dengan hari-hari tertentu. Dalam hubungan ini saya tertarik kepada kata-katanya, “Dalam pembicaran ini cukup kita berpandukan kepada peristiwa kaum Ad yang ditimpa ribut badai selama seluruh hari-hari minggu itu kerana menurut keterangan Allah tadi yang berbunyi,“Yang menimpai mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus-terusan”. Andainya semua hari-hari itu sial belaka, maka manakah pula hari dalam seminggu yang tidak sial? Yang sebenarnya seperti kata Al-Wasi seluruh hari itu adalah sama sahaja tidak ada hari yang sial dan tidak pula ada hari yang baik, malah setiap saat itu boleh merupakan saat yang baik kepada seseorang dan saat yang sial kepada seseorang yang lain mengikut baik buruk peristiwa yang berlaku kepada seseorang. Waktu, tempat dan benda-benda tidak ada campur tangan dalam kesialan dan kecelakaan seseorang.

Ya, memang benar ada beberapa waktu yang mulia pada pandangan Allah yang boleh menggandakan pahala atau dosa kepada orang-orang melakukan kebajikan atau kejahatan, tetapi kemuliaan waktu itu satu soalan lain dan kesialan dan kecelakaan satu soalan lain pula yang memang tidak diakui Islam.

Dari itu orang-orang Mukmin harus waspada dari tindak tanduk penipu-penipu yang mahu melariskan kepercayaan sial atau memajukan kerja-kerja meramalkan perkara-perkara ghaib. Kepercayaan sial atau sangkamara itu telah menyebabkan seseorang itu menjadi tawanan sangkaan-sangkaan yang karut, kepada kesialan kata-kata, hari-hari atau pandangan-pandangan yang dilihat mereka. Mereka harus membersihkan hati mereka dari kekarutan-kekarutan ini, mereka harus sanggup meneruskan kerja dan rancangan-rancangan mereka dengan penuh azam bila sudah mereka yakinkan kebagusannya, “Kalau engkau sudah mempunyai azam maka bertawakallah kepada Allah”. [Ayat 59 Surah Al-‘Imran], iaitu berpegang kepada keimanan mereka yang bersih dan kepada taufik Allah. Dengan jalan ini selamatlah hidup mereka dan lancarlah segala kerja-kerja mereka dan akan sampailah mereka ke pantas keamanan dan kesentosaan.



Sumber : pondokrahmat


via Bin Usrah
Share on Google Plus
}); });