'Buat apa nak malu? Saya bangga nama saya Proton Saga & anak saya Viva'


TROLAK, PERAK - "Saya tidak tahu nak letak nama apa pada masa itu. Ada orang cadangkan Proton Saga, saya fikir bagus juga. Jadi saya terus setuju," demikian kata Kelambu Jambi, 54, menjelaskan nama unik anak sulungnya, Proton Saga, yang diambil bersempena nama model kereta nasional pertama Malaysia. 

Kelambu berkata, 33 tahun yang lalu, nama itu telah dicadangkan oleh seorang anggota polis yang ditemuinya di pejabat pendaftaran ketika hadir untuk mendaftarkan nama anak lelakinya itu. 

"Saya tidak tahu menulis dan membaca menyebabkan saya binggung seketika kerana tidak mempunyai sebarang idea untuk berikan nama pada anak. 

"Ada seorang polis di Trolak mencadangkan nama Proton Saga, saya ikut saja. Mungkin masa itu negara kita nak keluarkan kereta nasional yang pertama, jadi polis itu pun beri cadangan nama Proton Saga untuk anak sulung saya," katanya, memetik laporan dari Sinar Harian Online

Difahamkan, nama Proton Saga anak Kelambu ini menjadi bualan netizen selepas surat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang tertulis namanya, viral di media sosial. 

Proton Saga adalah anak sulung dari tujuh beradik hasil perkahwinan Kelambu bersama Jamaliah, 49, itu dilahirkan pada 6 Ogos 1984, kira-kira 11 bulan sebelum model kereta Proton Saga dilancarkan pada Julai 1985. 

Kelambu dan Jamaliah sedikit pun tidak menyesal dengan pilihan nama itu, malah berbangga setiap kali orang menyebut nama anaknya. 

"Masa mula-mula memanglah janggal, tetapi lama kelamaan dah biasa. Orang luar yang pertama kali mendengar nama anak saya akan kata nama itu unik dan sangat bagus. Sebagai bapa, sudah tentulah saya bangga," katanya. 

Bagaimanapun, hanya anak sulungnya sahaja yang memiliki nama unik, sementara enam yang lain menggunakan nama biasa.

Proton Saga | Foto - Sinar Harian
TIADA SEKELUMIT PUN PERASAAN MALU

Proton Saga pula berkata, dia langsung tidak punyai perasaan malu dengan nama yang diberikan itu. Malah sejak dari kecil, kawan-kawan sekampungnya langsung tidak pernah mengejek atau mempermainkan namanya meskipun tahu ia nama sebuah kereta. 

"Saya tak kisah pun, buat apa nak malu atau segan? Kalau orang tanya nama, saya beritahu nama sebenar. Cuma di sini orang kampung lebih gemar memanggil saya Alor. Tetapi mereka tahu nama sebenar saya dan terima saja nama itu. 

"Saya tidak sangka nama saya akan viral gara-gara BR1M yang diterima sejak 2012. Saya pun tak tahu nama saya menjadi bualan netizen sehinggalah ada wartawan yang mencari," katanya.

Proton Saga telah mendirikan rumah tangga bersama Rodiah Yok Ramu, 30, dan dikurniakan sepasang anak yang diberi nama Viva, 10, dan Sani, berusia setahun. 

Menurut Proton Saga, nama anak sulungnya itu diberi nama Viva bersempena kereta dihasilkan Perodua pada Mei 2007 selepas dicadangkan oleh seorang jururawat di Tapah memandangkan anaknya lahir dua bulan selepas model kereta itu dilancarkan. 

"Seperti bapa saya juga, waktu itu saya tak tahu nak letak nama apa. Kebetulan ada misi datang periksa isteri saya, dia cadangkan maa Viva. Saya dan isteri rasa nama itu unik dan terus bersetuju," katanya. 

Proton Saga mengakui dia akan tersenyum setiap kali melihat MyKid anaknya tertera Viva Proton Saga. - The Reporter
Share on Google Plus
}); });