Apa Hukumnya Solat Fardhu Berimam Solat Sunat?



Soalan: Saya ingin bertanya apakah hukum bagi orang yang solat fardu berimamkan solat sunat? Contohnya, salah seorang rakan saya telah lambat untuk solat berjemaah dan kebetulan hanya saya seorang yang sedang solat di situ

Tetapi saya sedang solat sunat qabliyah, lalu dia menepuk bahu saya dan berimamkan saya. Adakah solat dia sah? Apakah yang perlu saya buat ketika dia menepuk bahu saya untuk berimamkan saya?

Jawapan

Menurut Imam al-Syafie, sah seseorang makmum yang mendirikan solat fardu berimamkan imam yang solat sunat. Berdasarkan hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Pernah suatu hari Muaz bersembahyang Isyak bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW. Kemudian selepas selesai, Muaz kembali ke rumahnya dan dia menjadi imam kepada ahli keluarganya.

Imam al-Syafie menjelaskan, solat yang didirikan oleh Muaz pada kali kedua itu adalah solat sunat, manakala solat ahli keluarganya yang menjadi makmum itu adalah solat fardu Isyak. Ini menjadi dalil bahawa dibenarkan orang yang bersolat fardu berimamkan imam solat sunat.

Namun, adalah lebih baik dielakkan bagi menghindar daripada perbezaan pendapat kerana ulama yang lain berpendapat tidak sah makmum solat fardu berimamkan imam solat sunat (al-Syarbini al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 503).

Jika seseorang yang solat sunat, kemudian ada orang menepuk bahunya untuk menjadikan dia imam, dia hanya perlu teruskan solatnya dan tidak disyaratkan dia berniat menjadi imam (al-Syarbini al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 503). Wallahu a’lam

Petikan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)




Sumber : sentiasapanas.com



via Bin Usrah
Share on Google Plus
}); });