KUALA ROMPIN - Seorang pembantu kedai berusia 20 tahun ditahan selepas cubaannya untuk membuat laporan palsu mengenai penemuan mayat seorang bayi yang dilahirkan oleh teman wanitanya terbongkar, lapor Sinar Harian.
Sebelum itu, suspek yang tidak tahu untuk berbuat apa telah mengadu hal itu kepada seorang bekas gurunya, ustaz, dan dibawa ke Balai Polis Rompin pada malam itu untuk membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, suspek pada awalnya mendakwa telah menemui mayat bayi itu ketika sedang mencari tempat memancing di Empangan Sepayang, jam 8 pagi, Khamis.
Namun, dakwaannya itu ternyata tidak benar selepas siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati mayat bayi itu diambil dari rumah teman wanitanya yang berusia 18 tahun, di Pontian Jaya.
"Suspek berasa panik selepas menemui bayi itu pada jam 8 pagi semalam dan terus membawanya ke tempat kerja dan lain-lain tempat sehinggalah dia datang ke Balai Polis Rompin, jam 9.45 malam tadi untuk membuat laporan polis.
"Hasil siasatan ke atas suspek telah membongkar kisah bayi itu dilahirkan," katanya.
Mayat bayi dalam bungkusan yang disembunyikan selama 14 jam sebelum dilaporkan pada pihak polis |
Teman wanita suspek juga telah ditahan di hadapan sebuah kedai di Bandar Baru Rompin, jam 11.10 malam tadi. Wanita itu mengaku telah menggugurkan anaknya dengan cara memakan ubat gugur kandungan yang dibelinya secara online berharga RM500.
Seorang lagi suspek lelaki yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut juga telah ditahan di kediamannya jam 2.30 pagi.
Mayat bayi telah dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. - The Reporter