PENINGKATAN jenayah pornografi yang mengguna pakai kamera pengintip membawa kepada penubuhan skuad ini.
WANITA itu berjalan di sekeliling tandas wanita yang kosong sambil membawa alat pengesan peranti elektronik yang dihalakan di sekitar mangkuk tandas, pemegang tisu tandas, tombol dan kipas pengudaraan di siling.
“Saya bertugas bagi memastikan tiada kamera pengintip dipasang di dalam tandas ini.
“Saya hairan mengapa ada individu yang sanggup merakam dan menonton aksi sedemikian. Saya mahu memastikan wanita yang menggunakan tandas ini berasa selamat,” kata Park Kwang-mi, 49.
Sebagai salah seorang ahli skuad itu, Kwang-mi bertanggungjawab untuk menangani jenayah pornografi menggunakan kamera rahsia.
Kadar penembusan jalur lebar di Korea Selatan adalah sangat tinggi dengan 90 peratus daripada 50 juta rakyat di negara itu memiliki telefon pintar.
Bagaimanapun, budaya masyarakat yang didominasi kaum lelaki telah meningkatkan kes salah guna teknologi selain diburukkan lagi dengan kelemahan negara itu dalam memperjuangkan hak-hak wanita.
Penjenayah lazimnya menggunakan aplikasi khas dalam telefon pintar untuk merakam aksi wanita berskirt menaiki tangga bergerak atau sedang berdiri serta kamera pengintip yang mampu merakam aksi di bilik persalinan atau di tandas awam.
Memburukkan keadaan, imej itu turut dimuat naik ke internet sebelum dikongsi dalam laman-laman web tertentu.
Jenayah pornografi menerusi kamera pengintip merupakan antara berita yang kerap dipaparkan di dada-dada akhbar serta media sosial negara itu.
Antara yang mendapat perhatian, kes seorang paderi ditahan kerana merakam aksi wanita berskirt ketika menaiki tangga bergerak menggunakan telefon pintar. Pemeriksaan lanjut ke atas telefon itu menemui puluhan imej wanita lain yang dirakam dengan aksi sama.
Terbaharu, ketua jurulatih pasukan renang Korea Selatan meletak jawatan selepas dua atlet lelaki didapati bersalah kerana memasang kamera pengintip di bilik persalinan pasukan renang wanita.
ALAT pengesan peranti elektronik yang digunakan mampu mengesan sebarang unsur mencurigakan seperti kamera pengintip.
Berdasarkan data polis, jumlah jenayah itu meningkat enam kali ganda daripada 1,110 kes pada 2010 kepada 6,600 kes pada 2014.
Menurut seorang detektif yang menganggotai skuad anti jenayah di Seoul, Hyun Heung-Ho, kebanyakan penjenayah menggunakan telefon pintar atau kamera pengintip yang menyerupai pen mahupun jam.
Hukuman
Ditubuhkan pada 1987, skuad itu berperanan untuk membendung jenayah di stesen kereta api bawah tanah seperti seluk saku, namun kini terarah dalam menangani serangan seksual termasuk jenayah pornografi menerusi kamera pengintip.
“Ia agak sukar kerana mereka menggunakan aplikasi khas di telefon pintar yang mampu memadamkan bunyi kamera atau menunjukkan paparan berlainan ketika merakam.
“Apabila ditahan, kebanyakan penjenayah merayu minta dilepaskan dan memberi pelbagai alasan tidak munasabah,” jelasnya.
Ketika ini, mereka yang terlibat berdepan hukuman denda sehingga 10 juta won (RM37,000) atau penjara maksimum sehingga lima tahun.
Bagi membendung jenayah itu, polis turut menawarkan ganjaran kepada orang ramai manakala pihak berkuasa di Seoul menggajikan wanita seperti Kwang-mi untuk memantau tandas dan lokasi lain daripada kamera tersembunyi.
Seorang pekerja pejabat, Lee Hae-kyung, 38, berkata, dia dan rakan-rakannya sedaya-upaya mengelak daripada menggunakan tandas awam.
“Jika terpaksa, saya akan memeriksa keseluruhan tandas terlebih dahulu untuk memastikan tiada kamera tersembunyi dipasang.
“Ia agak menakutkan kerana sesiapa sahaja boleh terlibat dengan jenayah ini. Siapa sangka, mungkin lelaki yang anda ditemui di tempat awam sedang merakam aksi anda tanpa sedari,” katanya.
Hae-kyung juga akan memastikan dia tidak berdiri membelakangi lelaki ketika menaiki tangga bergerak sebaliknya berdiri secara berdepan serta memandang ke arah matanya.
Pakar sosiologi dari Universiti Hanyang di Seoul, Lee Na-young berkata, jenayah itu hanya dapat dibanteras menerusi kerjasama masyarakat.
Katanya, aksi rakaman pornografi dan lucah mendapat permintaan tinggi di Korea Selatan serta Jepun sejak beberapa dekad.
“Kedua-duanya merupakan negara yang konservatif iaitu seks dianggap sebagai tabu, ramai yang merasai tekanan seksual dan wanita pula sering dijadikan objek seksual serta diskriminasi,” katanya.
Diiktiraf sebagai kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia, Korea Selatan diletakkan dalam senarai terbawah dalam kalangan anggota Organisasi bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) berhubung hak asasi wanita.
Hae-kyung menambah, faktor itu menyebabkan lelaki sering melihat wanita sebagai objek seksual.
“Jenayah ini tidak dapat ditangani kecuali kita menyelesaikan isu sosial yang lebih besar menerusi pendidikan di sekolah,” jelasnya.
Sumber : Kosmo.com.my

