KUALA LUMPUR - "Masih ramai yang tidak faham dengan maksud pelepasan dan juga pengecualian," demikian kata Nora Danish yang tampil memberikan penjelasan mengenai temubualnya bersama wartawan Utusan Malaysia yang dikatanya telah dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut Nora, borang cukai artis adalah berbeza dengan borang cukai yang lain. Malah dalam borang cukai artis mempunyai kategori penampilan.
"Borang artis juga berbeza dari borang cukai yang lain. Memang ada kategori penampilan. Saya maksudkan bahagian itu dinaikkan peratusannya," kata di laman Instagram.
Nora turut berkongsi komen dari seorang peminatnya, Rozi Abdul Razak, yang memberi penjelasan serba sedikit mengenai isu berkenaan.
"Hanya berapa peratus saja dari kos penampilan diri yang boleh diisytihar, sedangkan itu adalah perbelanjaan paling besar artis.
"Sebagai contoh, belanjawan setahun bagi kos penampilan diri adalah RM100,000, artis hanya boleh isytiharkan 15% dari jumlah tersebut," kata Rozi.
Dalam kenyataan yang sama, Nora menegaskan bahawa dia berhak bersuara bagi pihak selebriti yang lain sebagaimana netizen yang juga berhak bersuara sebagai rakyat Malaysia.
Namun Nora terkilan apabila dilabelkan sebagai bodoh hanya kerana segelintir netizen tidak memahami akan maksud pelepasan dan pengecualian cukai.
"Kenapa saya dikatakan bodoh? Walhal (anda) sepatutnya semak dulu tahap pemahaman anda mengenai isu ini.
"Saya juga adalah pembayar cukai dan semua orang harus membayar cukai. Tiada pengecualian jika jumlah pendapatan seseorang itu melebihi RM3,000 sebulan," katanya yang berharap agar netizen faham dan berhenti mencemuhnya di media sosial. - The Reporter