Nak 'Rasa' Hidup Gelandangan, Punca Noor Ayrill Lari Dari Bapanya


KUALA LUMPUR - Seronok dan mahu merasa hidup gelandangan menjadi punca Noor Ayrill Aqasha Noor Shahril lari dari rumah dan keluar bersama rakan-rakannya di kawasan Chow Kit, selain enggan pulang ke rumah kerana takut dimarahi oleh ayahnya, lapor Bernama. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, perkara itu berdasarkan rakaman keterangan dari bapa kanak-kanak berumur 10 tahun itu, Noor Shahril Yusmarizal, 39, dan ibunya Siti Rohayu Yaacob, 37. 

"Siasatan mendapati, kanak-kanak itu telah pergi ke Pudu dengan menaiki bas Rapid KL untuk berjumpa dengan rakannya sebagai Ari, 13, di Chow Kit sebelum menetap di rumah gelandangan selama beberapa hari yang kemudian enggan pulang ke rumah kerana berasa seronok menerima makanan percuma daripada orang awam setiap malam. 

"Bagaimanapun, setelah kehabisan wang, Noor Ayrill Aqasha menaiki bas percuma Go-KL untuk ke rumah ibunya. Malangnya dia terlupa jalan ke rumah ibunya membuatkan dia hilang arah sehingga ditemui semalam," katanya. 

Menurut Kok Sin, kanak-kanak itu juga enggan pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi oleh bapanya lalu mengambil keputusan untuk menetap di kawasan gelandangan selama beberapa hari. 

"Selepas hasil perbincangan kedua ibu bapanya, Noor Ayrill Aqasha akan pulang dan tinggal bersama ibunya," katanya. 

Noor Ayrill Aqasha dilaporkan hilang pada 31 Oktober lalu selepas keluar dari bilik sewa bapanya. Kehilangan kanak-kanak itu tersebar meluas di laman sosial setelah ibunya merayu netizen menviralkan gambar anaknya yang hilang. 

Bagaimanapun, Noor Ayrill Aqasha ditemui di sebuah perhentian bas di Bukit Ampang, bersendirian oleh abang rakannya, Mohd Ismail Abdullah, 15, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin dalam keadaan lemah. - BERNAMA

Share on Google Plus
}); });