Derma hati, dapat cinta. Ikuti kisah mereka!!!!
PASANGAN ini berkahwin awal bulan lalu dan Kreuger mengakui dia merupakan wanita paling bahagia kerana bersuamikan lelaki sebaik Dempsey.
HEATHER KREUGER menangis apabila diberitahu oleh doktor bahawa dia menghidap kanser hati tahap empat dan hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi untuk hidup.
Begitu pun, pertemuan wanita itu dengan seorang lelaki yang cukup baik telah mengubah hidup Kreuger 100 peratus dan menjadikannya wanita paling bahagia di dunia.
Lelaki itu, Chris Dempsey, langsung tidak menyangka bahawa keputusan untuk menderma sebahagian daripada hatinya kepada Kreuger yang langsung tidak dikenalinya itu telah menyebabkan dia bertemu dengan pasangan hidup yang dicari selama ini.
Segalanya bermula ketika Dempsey yang merupakan seorang pegawai kod undang-undang dari Illinois, Amerika Syarikat, secara tidak sengaja telah terdengar perbualan antara sepupu Heather Kreuger, Jack Dawyer dengan salah seorang ahli keluarga wanita itu, tentang penyakit kanser tahap empat yang dihidapi Kreuger.
“Saya langsung tidak mengenali siapakah Kreuger yang disebut-sebut oleh kedua-dua mereka dalam perbualan tersebut, namun pada waktu itu saya mahu membantu Kreuger.
“Saya fikir, sekiranya saya boleh dan mampu untuk menyelamatkan nyawa wanita itu, saya mesti lakukannya,” ujar lelaki tersebut mengimbau kembali detik mula dia mengenali Kreuger.
Teruja
Dempsey kemudiannya menegur Dwyer dan menyatakan hasratnya untuk cuba membantu sepupu lelaki tersebut. Dia pun menjalani ujian kesesuaian dan gembira apabila mendapat tahu dia merupakan penderma yang sesuai.
Dua tahun lalu, Kreuger disahkan menghidap kanser hati tahap empat dan satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa wanita tersebut ialah dengan mencari penderma hati yang sesuai.
Wanita berusia 27 tahun itu terlalu sedih dan mengakui sakit tersebut menjadikan hatinya terasa cukup lemah, seolah-olah menanti saat untuk berhenti daripada berfungsi.
KEDUA-DUA mereka sempat bergambar kenangan sebelum menjalani pembedahan pemindahan hati.
Menurut doktor di Hospital Universiti Illinois, Kreuger hanya mempunyai masa beberapa bulan sahaja untuk mencari seorang penderma sesuai bagi menyelamatkan nyawanya.
Apabila diberitahu bahawa pihak hospital sudah berjumpa dengan penderma sesuai buat Kreuger, wanita itu terus berlari mendapatkan ibunya untuk berkongsi berita gembira itu.
Kedua-dua mereka menangis dan Kreuger tidak menyangka bahawa nyawanya masih mampu diselamatkan.
“Saya cukup teruja dan tidak menyangka, seorang insan yang langsung tidak mengenali saya atau mempunyai pertalian darah dengan saya sudi untuk menderma organnya untuk saya,” ujar Kreuger.
Kreuger dan Dempsey kemudian bertemu buat pertama kalinya bagi membincangkan tentang prosedur pembedahan mereka.
Pembedahan yang memindahkan sebahagian hati Dempsey kepada Kreuger itu berjalan dengan lancar.
Jatuh cinta
Dempsey kemudian menjelaskan kepada Kreuger bahawa kedua-dua mereka kini boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa selepas pembedahan tersebut.
Begitu pun, Kreuger tiba-tiba berasa amat sedih dan pada waktu itu, dia menyedari yang dia mula menyayangi Dempsey.
“Saya merasakan sesuatu dan saya tahu ia bukanlah perasaan terhutang budi, malah ia lebih dari itu,” ujar Kreuger.
Kedua-dua mereka kemudian menjadi semakin rapat sebelum akhirnya sedar mereka mencintai antara satu sama lain.
Sehinggalah pada Disember tahun lalu, Dempsey akhirnya melamar Kreuger sebagai isterinya. Pasangan itu berkahwin pada awal bulan lalu dalam satu majlis yang cukup indah.
Menurut Kreuger, dia tidak pernah menyangka akan dipertemukan dengan seorang suami yang amat sempurna di matanya.
“Saya sering terfikir tentang pertemuan kami dan tidak dapat membayangkan apakah yang akan terjadi kepada saya sekiranya suami saya tidak terdengar perbualan sepupu saya.
“Namun, perkara yang paling penting ialah, suami saya telah membuktikan bahawa masih wujud individu yang berhati mulia dan cukup ikhlas dalam membantu orang lain di dunia ini,” ujarnya.
Sember : www.kosmo.com.my

