'Adik, dalam ni ada jual minyak masak? Boleh ke pakcik masuk dalam pakai macam ni?'


Oleh Mohd Shahrul

Semalam saya pergi ke Quill City Mall, ada urusan nak bagi hadiah pada kawan. Selepas parking motosikal di depan pintu masuk, saya pun dengan senang hati melangkah masuk ke dalam shopping mall yang gilang gemilang ini.

Tiba-tiba saya disapa oleh seorang pakcik sekitar usia 50-an. Dari raut wajahnya, beliau kelihatan gusar, berpakaian baju melayu yang lusuh, motosikal kapcai Suzuki yang sudah lama, serta helmet yang buruk, beliau bertanya kepada saya,

"Assalamualaikum. Adik, kat dalam ni ada jual minyak masak ke? Boleh ke pakcik masuk ke dalam pakai macam ni? Pakcik nak beli minyak masak, ada kawan pakcik cakap kat sini ada jual lagi minyak masak yang belum naik harga..", beliau bertanya kepada saya dengan wajah yang masih gusar.

Tetiba saya terasa sedih dan syahdu, saya balas soalan pakcik itu.

"Waalaikumussalam. Saya tak pasti pakcik. Tapi, kita boleh try tengok. Pakcik parking motosikal kat bawah itu, belakang motosikal saya. Saya bawa pakcik masuk dalam."

Masuk ke dalam, terus sembang dengan pakcik itu. Beliau bekerja sebagai jaga, anak enam orang dan semuanya masih bersekolah. Mereka tinggal di Setapak.

Saya tunjukkan pakcik itu supermarket di tingkat bawah. Alhamdulillah, memang ada stok minyak di jual pada harga sebelum kenaikan harga. Tetapi, seorang cuma boleh beli dua botol sahaja. Pakcik itu pun mengambil dua botol dan saya juga mengambil dua botol untuk beliau. 

Di kaunter bayaran, pakcik itu berkeras tidak mahu menerima bayaran dari saya. Namun, akhirnya akur setelah saya cakap bahawa hari ini ada bahagian rezeki saya untuk beliau. Sepanjang berjalan ke pintu keluar, beliau cuma berdiam diri sambil melihat sekitar Quill Shopping Mall. Keluar di pintu utama, dengan mata yang berkaca-kaca, beliau menyatakan rasa terima kasih yang tak terhingga. 

"Terima kasih dik untuk empat botol minyak masak ini. Banyak adik bantu pakcik." 

Saya cuma terdiam kerana merasakan pemberian saya tiada apa-apa. Cuma meminta beliau mendoakan untuk saya dan keluarga. Setelah bersalaman, sahabat saya pun call dan pakcik itu meminta izin untuk beredar.

Malam itu saya berfikir panjang. Di luar sana, ada ramai orang yang hidup seperti pakcik tadi, hidup dalam kesusahan. Berkira-kira duit untuk dibelanja setiap hari. Mungkin, ini kali pertama beliau masuk shopping mall seperti itu. Mereka yang merasa kesempitan hidup, kerana ada pihak yang tidak memahami kesusahan hidup rakyat marhaen.

Semoga Allah murahkan rezeki yang melimpah ruah kepada pakcik tadi dan membantu semua yang dalam kesempitan dan kesusahan. - Mohd Shahrul
Share on Google Plus
}); });