Keliru Alahan Ubat atau Kesan Sampingan Ubat?

Kebiasaannya pengguna sering menganggap kesan sampingan dan alahan ubat-ubatan adalah perkara yang sama. Tetapi dari segi perubatan, kedua-dua kesan ini adalah berbeza dan tidak semua pengguna akan mengalaminya. Mengetahui perbezaannya amat penting terutama bagi pengguna yang mempunyai sejarah alahan ubat.
Kesan sampingan bermaksud kesan yang tidak diingini selain dari kesan terapeutik dan berlaku disebabkan oleh mekanisma tindakan ubat  terhadap badan. Setiap ubat mempunyai profil kesan sampingan yang tersendiri. Ia terbahagi kepada beberapa tahap. Iaitu dari kesan sampingan yang biasa dilaporkan dan kesan sampingan yang jarang dan parah (Adverse Reaction).
Terdapat juga kesan sampingan yang bersifat sementara dan juga bersifat kekal kepada pengguna.

img_drug
Contoh yang mudah adalah Chlorpheniramine atau lebih dikenali sebagai Piriton merupakan salah satu ubat selesema dan gatal-gatal yang mudah didapati di farmasi dan klinik. Kesan sampingan yang biasa dihadapi dengan pengambilan Chlorpheniramine adalah mengantuk dan dinyatakan dengan jelas pada label ubat ini.
Bagaimanapun sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Contohnya adalah ubat Allopurinol  yang digunakan untuk mengurangkan paras asid urik dalam darah.
Ubat tersebut dilaporkan menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti Steven Johnson Syndrome  yang melibatkan kematian sel-sel kulit. Maka dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha memastikan ubat-ubat sedemikian adalah rasional dan dipantau ketat.

Rx-bottle-and-pad-152110776
Alahan ubat-ubatan bermaksud kesan ubat yang melibatkan reaksi sensitif oleh mekanisma pertahanan tubuh badan pengguna (secara semulajadi) terhadap ubat. Reaksi dan keterukan alahan adalah berbeza bergantung kepada seseorang individu. Contohnya  alahan minor adalah seperti  ruam gatal  dan alahan major adalah seperti anafilaksis yang boleh membawa kematian
Alahan yang biasa dilaporkan adalah alahan terhadap antibiotik dari kumpulan Penicillin (Amoxycillin dan Ampicillin) yang dipreskrib untuk rawatan jangkitan bakteria. Kesan alahan yang biasa dilaporkan adalah ruam gatal dan bengkak.
Seseorang individu hanya boleh mengetahui dirinya mempunyai alahan selepas terdedah kepada ubat berkenaan dan mengalami kesan alahan ubat.

istock_photo_of_swollen_eyelid
Walaupun berbeza mekanisma antara alahan ubat dan kesan sampingan, para pengguna perlu beringat bahawa kedua-dua kesan berkenaan adalah kesan yang tidak diingini dan tindakan pencegahan serta langkah berjaga-jaga perlu diambil.
Tindakan yang perlu diambil:
  1. Anda perlu bertenang.
  2. Anda perlu menghubungi atau terus ke Unit Kecemasan Hospital  yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
  3. Bagi pengguna yang mengalami kesan sampingan, anda boleh melaporkan melalui portal www.bpfk.gov.my. Ia juga akan dilaporkan oleh doktor atau pegawai farmasi sebagai cara pemantauan kesan sampingan di Malaysia.
  4. Bagi pengguna yang mengalami alahan ubat-ubatan, satu Kad Alahan Ubat akan dikeluarkan oleh Unit Farmasi Hospital/ Klinik Kesihatan Awam selepas laporan pengesahan ubat dilengkapkan oleh pegawai perubatan. Kad ini penting dibawa bersama apabila mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berlainan untuk mengelakkan daripada diberi ubat-ubatan yang boleh menyebabkan alahan pada pengguna.
The post Keliru Alahan Ubat atau Kesan Sampingan Ubat? appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.

Share on Google Plus
}); });