Akhirnya cita-cita Tasha Manshahar termakbul , Kini Tasha Manshahar bergelar Guru Bahasa Inggeris. Tahniah !!
DIAM tidak diam, sudah seminggu penyanyi Tasha Manshahar memegang 'title' baharunya, iaitu seorang guru.
Mengajar di sebuah sekolah rendah di Melaka, Tasha berkata, menjadi pendidik sememangnya sudah menjadi cita-citanya sejak kecil.
"Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris. Saya sangat bersyukur. "Enam bulan saya menunggu jawapan, dan apabila diberitahu akan dihantar ke Melaka, macam-macam saya rasa.
Nak tinggal jauh daripada keluarga, nak mula mengajar dan paling saya bimbang adalah penerimaan masyarakat terhadap diri saya," katanya ketika ditemui pada majlis rakaman program Melodi Raya, baru-baru ini.
Jelasnya, sebagai penyanyi yang kini bergelar guru, pasti bermacam pandangan masyarakat dilemparkan terhadap dirinya.
Namun, penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta ini sentiasa berfikiran positif.
"Saya memang tak tahu bagaimana masyarakat melihat saya, iyalah sebelum ini mereka lihat saya dalam televisyen sebagai penyanyi dan apabila menjadi guru, bagaimana pula penerimaan mereka?
"Saya terima apa sahaja pandangan masyarakat. Jujurnya, saya tidak sabar melalui satu fasa lain dalam hidup lebih-lebih lagi memulakan sesuatu perkara baharu.
"Tapi, saya juga kerap berfikir akan keadaan di kawasan sekeliling saya terutamanya daripada murid-murid dan guru-guru lain.
"Insya-ALLAH, saya akan mencuba untuk melakukannya dengan terbaik. Saya percaya dengan niat dan langkah yang betul, pasti semuanya akan berjalan lancar," ujarnya yang kini giat mencipta nama sebagai penyanyi.
Tasha juga meletakkan harapan untuk mengajar sehabis baik hingga anak muridnya berjaya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Bagi memudahkan pergerakan, Tasha menyewa rumah yang tidak jauh dari sekolah tempat dia mengajar.
Menyifatkan tugas baharunya itu sebagai tanggungjawab besar yang perlu digalas, gadis berusia 23 tahun ini berharap mampu membuat sesuatu untuk masyarakat dan bukanlah sekadar hanya menyanyi.
"Sebenarnya, ramai yang kata susah nak jadi cikgu. Tapi, itu adalah tanggungjawab saya.
"Insya-ALLAH, saya akan buat sehabis baik untuk memberi didikan kepada anak murid saya," katanya.
Walaupun sibuk sebagai guru, Tasha bagaimanapun tidak berniat untuk meninggalkan bidang seni. Malah, pemilik nama sebenar Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar ini tidak melihat sebarang halangan untuknya meneruskan keduadua bidang tersebut asalkan mempunyai kemahuan dan bijak membahagikan masa.
"Tiada alasan jika mahukan sesuatu, pasti saya akan terus mencuba selagi mana termampu dan terdaya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tasha bakal muncul dengan album solo pertamanya, selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Memahami akan situasinya yang berjauhan dari ibu kota, Tasha sangat berbesar hati apabila syarikat rakamannya merancang pelbagai bentuk promosi terutamanya menerusi medium laman sosial.
"Album itu akan memuatkan enam lagu dan sudah pun siap sepenuhnya.
"Insya-ALLAH selepas habis mengajar pada hari Jumaat saya akan balik ke Kuala Lumpur untuk promosi album dan menghadiri undangan persembahan.
"Bukan itu sahaja, promosi album juga boleh dibuat menerusi laman sosial dan ia lebih cepat dan mudah," katanya.