Pada suatu hari, Imam Ghazali mengumpulkan anak-anak muridnya lalu meminta anak-anak muridnya duduk. Imam Ghazali mahu bertanya kepada anak muridnya beberapa soalan.
Imam Ghazali pun bertanya kepada anak muridnya, "apa yang paling dekat dengan kita di dunia?"
Mereka pun cuba menjawab,"ibu bapa!"
"Kawan-kawan dan sahabat!"
"Guru!"
Tersenyum saja Imam Ghazali. "Benar semua itu, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah mati, kerana setiap yang bernyawa pasti akan mati."
"Soalan kedua," kata Imam Ghazali. "Apa yang paling jauh dengan manusia di dunia?"
"Bulan!" kata seorang. "Bintang!" kata seorang lagi. "Matahari, cikgu!" kata seorang lagi mencuba.
Tersenyum lagi Imam Ghazali mendengar jawapan mereka yang benar. "Memang betul kesemua jawapan itu, tetapi yang paling jauh dengan manusia adalah masa lampau kita kerana kita tidak mungkin akan dapat mengubah apa yang kita pernah lakukan sebelum ini."
Mengangguk anak-anak muridnya itu.
"Apa yang paling besar di dunia?" tanya Imam Ghazali. Mereka memandang satu sama lain.
"Gunung!" cuba seorang. "Bumi ini," jawab seorang. "Matahari," kata seorang lagi.
"Benar semuanya. Tapi semua jawapan kamu tak sama besarnya dengan nafsu manusia yang tidak ada hadnya. Manusia ini memang tidak akan pernah merasa cukup dengan sesuatu yang dia ada, sehingga lalai mudah diajak nafsu."
Imam Ghazali tenang saja merenung anak muridnya yang nampaknya memahami apa yang cuba disampaikan.
"Apa yang paling berat di dunia?" tanya Imam Ghazali.
Mereka berfikir sebentar tetapi kemudian mula menjawab. "Besi?" tanya mereka. "Kapal di lautan?" tanya mereka lagi. "Seekor gajah?" tanya sebelah lagi satu.
"Yang paling berat di dunia adalah menjaga amanah yang diberikan pada manusia. Langit, bumi dan gunung-ganang juga pernah disoal Allah swt. untuk menerima amanah, kemudian mereka tolak. Hanya Nabi Adam as. yang menerimanya lalu amanah itu jatuh ke tangan semua manusia."
"Apa amanah yang diterima Nabi Adam as. itu, Tuk Guru?" tanya murid-muridnya.
"Allah swt. bertanya sama ada sanggup atau tidak Nabi Adam as. memikul amanah jika dia berbuat baik, dia akan diberikan ganjaran dan jika dia berbuat keburukan, dia akan diseksa," terang Imam Ghazali. "Lalu Nabi Adam as. bersetuju untuk memikul amanah itu yang juga jatuh kepada kita semua."
Imam Ghazali diam sahaja mendengar jawapan mereka sambil tersenyum. "Apa pula yang ringan di dunia jika apa yang kalian jawabkan tadi berat-berat belaka?"
"Debu cikgu?" jawab seorang. "Kapas," jawab seorang lagi. "Daun yang ditiup angin," jawab anak muridnya.
"Apa yang paling ringan?" tanya murid-muridnya.
"Meninggalkan solat," kata Imam Ghazali. "Terlalu banyak perkara yang akan membuatkan manusia terlupa untuk solat seperti pekerjaan dan perbincangan yang perlu dihadiri sehingga ramai yang meringankan keperluan solat pada dirinya."
Mengangguk anak-anak muridnya lagi.
"Yang terkahir, apakah yang paling tajam di dunia ini?" soal Imam Ghazali.
"Pedang," jawab anak muridnya.
"Benar. Namun begitu setajam mana sekalipun pedang, tajam lagi lidah manusia. Apabila seseorang sudah hilang rasa takut pada Allah swt, dia tidak lagi takut untuk mencaci seseorang dengan lidah yang tajam, sedangkan dia sendiri tidak melakukan apa yang diperkatakan," kata Imam Ghazali.
"Pedang mampu memotong sesuatu, tetapi lidah mampu menyakitkan hati dan melukakan perasaan saudara sendiri, sesuatu yang pedang paling tajam tidak mampu lakukan," terang Imam Ghazali.
Sumber: http://iluminasi.com
via Bin Usrah