Isteri tikam mata suami dengan pisau pemotong buah


FUJIAN, CHINA - Kakitangan perubatan di sebuah hospital terkejut melihat kehadiran seorang lelaki yang ditikam di mata kirinya, yang masih mampu beratur seperti pesakit biasa. 

Dalam kejadian jam 1 pagi, 11 Mac, Sabtu lalu, mangsa berusia 30 tahun yang tidak diketahui identitinya itu parah di bahagian mata kiri selepas ditikam oleh isterinya dengan pisau pemotong buah. 

Menurut saksi yang juga datang untuk mendapatkan rawatan di hospital tersebut, mangsa kelihatan tenang ketika menunggu giliran untuk dirawat. 

CT scan yang dilakukan pada kepala mangsa menunjukkan pisau tersebut ditikam sedalam 3.4 inci (8.7 sentimeter) ke dalam kepalanya menerusi soket mata mangsa. 



Mangsa yang dirawat oleh Doktor Xin Huining, juga turut tergamam melihat keadaan lelaki itu. 

"Saya sudah berkhidmat sebagai doktor selama 15 tahun, keadaan mangsa membuatkan saya hairan yang dia masih boleh bertahan dalam keadaan teruk seperti ini. 

"Bilah pisau itu langsung tidak mengenai mata, arteri, otak dan tidak memasuki rongga tengkoraknya. Oleh itu mangsa masih mampu bercakap dan bergerak seperti biasa. 

Kakitangan perubatan kemudian mengeluarkan pisau tersebut dan merawat luka mangsa sebelum lelaki itu keluar dari hospital tidak beberapa lama kemudian. 

Menurut Doktor Xin, mangsa tidak membuat laporan polis mengenai kejadian yang menimpa dirinya. Tidak dapat dipastikan sama ada mangsa membuat laporan atau tidak selepas meninggalkan hospital. - The Reporter
Share on Google Plus
}); });