Permaisuri Siti Aishah selesa ‘menyamar’ diri dalam kalangan rakyat jelata.

Bekas Permaisuri Agong itu berkata kini beliau boleh memandu sendiri dan jadi ‘pemandu’ untuk ibunya.

KUALA LUMPUR: Merentas jangka masa 15 tahun, kini Permaisuri Siti Aishah Abdul Rahman selesa “menyamar” diri dalam kalangan rakyat jelata.
Pernah bergelar Raja Permaisuri Agong, wanita itu kini betah menjalani kehidupan sebagai seorang wanita “single” yang berdikari, jauh daripada teduhan payung kuning dan kawalan pagar istana, lapor Bernama.
Permaisuri Siti Aishah, 45, tidak segan memberitahu wartawan beliau memandu kereta sendiri ke majlis perasmian Projek Wakaf Telekung Siti Aishah di sebuah hotel di sini pada 26 Mei lepas.
“Hari ini saya datang sini saya ‘drive’ sendiri. Saya jadi ‘driver’ pula kepada ibu saya,” katanya.

Permaisuri Siti Aishah ialah wanita termuda pernah diangkat sebagai Permaisuri Agong iaitu pada usia 28 tahun pada 26 April 1999.
Permaisuri kepada Almarhum Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mangkat pada 2001 itu juga memecah tradisi sebagai Permaisuri Agong pertama membawa imej bertudung.
Mengimbas kenangan bersama Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, khususnya pada bulan puasa, Permaisuri Siti Aishah menceritakan biasanya beliau dan almarhum akan berada di istana di Morib.
Pasangan diraja itu mengimarahkan Ramadan dengan bersolat tarawih di masjid berlainan di sekitar Morib pada setiap malam, sebagai satu cara untuk berjumpa dan bermesra bersama rakyat.
“Dan Almarhum juga akan buat rumah terbuka di Morib semasa hari raya. Baginda suka di situ kerana ada zoo mini.
“Kami selalu pergi melihat haiwan yang almarhum pelihara seperti rusa, kura-kura, burung Flamingo, kangaroo, kambing dan banyak lagi,” katanya.
“Yang saya paling rindu tentulah sikap baginda yang suka menyakat orang,” katanya.
Share on Google Plus
}); });