Dungun: Seorang pemandu treler yang berusia 25 tahun berkata dia mengelak kelibat 'lembaga hitam' yang melintas di hadapan kenderaan yang dipandunya menyebabkan treler berkenaan terbabas sebelum terbalik di KM 342.7, LPT2 selepas susur keluar Kuala Dungun kira-kira jam 3 pagi kelmarin.
Dalam kejadian tersebut, pemandu berkenaan bersama kelindan yang juga adiknya mengalami cedera ringan.
Kata pemandu tersebut, dia dan dua treler lain yang sarat dengan muatan bijih besi berkonvoi dari Gua Musang untuk menghantar bahan itu ke Kawasan Industri Gebeng, Kuantan.
“Saya sedang bercakap menggunakan ‘walkie-talkie’ seorang lagi pemandu treler di belakang yang dikenali sebagai Awi berusia 35 tahun manakala adik melihat telefon bimbit.
“Tiba di lokasi, saya lihat lembaga itu melintas dari arah kanan lebuh raya dan saya sempat memaklumkannya kepada Awi sebelum treler terbabas ke kiri jalan,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.
Dia dan adiknya kemudian dibantu keluar oleh Awi.
“Ketika itu hujan, saya dan adik menumpang dalam treler Awi. Tiba-tiba saya ternampak kelibat wanita berdiri di tepi pokok bersebelahan treler saya yang tersadai.
“Kelibat wanita itu melambai-lambai dan saya beberapa kali meminta Awi mengundurkan treler kerana saya mahu merakam gambar itu, namun Awi enggan,” katanya.
Kemalangan itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub - Harian Metro