'Saya Tak Mahu Doktor Pelatih Cucuk Saya!'

Foto - Abdul Rahman Abdul Kadir

Beberapa minggu yang lalu ketika saya membuat rondaan di zon merah, saya ternampak seorang pesakit yang baru tiba. Segera saya menyapa beliau dan bertanya serba sedikit tentang masalah perubatannya. 

Beliau sudah demam selama tiga hari dan saya risau jika beliau terkena denggi. Melihat keadaannya yang agak dehidrasi, saya membuat keputusan untuk memasang jarum branula untuk beliau bagi tujuan rawatan drip.

Doktor-doktor muda (houseman) yang bertugas, enggan membenarkan saya melakukan prosedur tersebut.

"Tak apa boss, kami boleh buat. Takkan boss pula yang kena buat? Simple saja prosedur ini," kata mereka bersungguh-sungguh.

Saya hanya tersenyum dan memandang pesakit tersebut. Beliau juga tersenyum sama kerana mengerti apa yang bermain di fikiran saya. 

"It's okay, let me do it," kata saya dan meneruskan prosedur itu dengan jayanya. 

Setelah selesai, saya panggil houseman-houseman saya itu dan saya terangkan kepada mereka mengapa saya sendiri mahu melakukan prosedur tersebut. 

Pesakit itu adalah seorang guru yang saya telah mengenalinya sejak 2003 di mana pada ketika itu saya adalah seorang houseman posting pertama. Beliau menghidap penyakit infective endocarditis yang memerlukan pengambilan darah yang banyak hampir setiap hari. 

Jadi, hampir setiap hari saya mencucuk dan mengambil darah beliau. Tidak seperti sekarang yang ada ramai doktor di dalam wad, zaman tersebut hanya saya dan seorang lagi doktor yang lain bertugas di wad. 

Dipendekkan cerita, saya kurang berpengalaman mengambil darah pada ketika itu. Maklumlah hanya sekadar doktor pelatih yang baru graduate. Beliau? Beliau sangat bersabar dengan saya. 

Pada satu ketika, saya teringat saya mencucuk beliau hampir 7 kali sehingga saya berputus asa. Namun beliau tidak marah atau merungut. Sebaliknya beliau memberikan kata-kata perangsang beliau kepada saya sehingga saya berjaya. 

Beliau bukan hanya sekadar guru kepada pelajar-pelajar sekolah tetapi beliau juga adalah guru angkat kepada saya. 

Di ketika masyarakat umum mencebik, mengeluh dan kadang kala menghalau doktor-doktor pelatih, mereka gagal untuk sedar bahawa seorang doktor pakar tidak akan dihasilkan sekiranya dia tidak diberi peluang untuk belajar dan berlatih. 

Sehingga kini saya mengenang jasa beliau dan sikapnya yang baik pada diri saya dan di mana jua saya bertemu dengannya di hospital, saya akan secara peribadi merawat beliau. Hatta semasa saya terserempak dengannya di HUKM pun, saya merawatnya secara peribadi. 

Beliau juga tahu kenapa saya memberikan layanan sedemikian kepadanya kerana saya sudah menceritakan kepadanya, betapa tidak mungkin saya bergelar doktor pakar hari ini tanpa kesempatan menimba ilmu yang diberikan oleh beliau untuk saya. 

Dek terkesan dengan perkara ini, ketika isteri dan anak saya sakit, saya mengizinkan dengan rela hati doktor-doktor pelatih mengambil darah mereka. Malah ketika saya sakit pun, darah saya diambil oleh doktor pelatih sahaja. Alhamdulillah, tiada masalah apabila mereka mengambildarah. Allah memudahkannya apabila nawaitu kita mulia. 

Saya menceritakan perkara ini hari ini kerana anak buah saya juga adalah mahasiswa perubatan yang sedang belajar dengan saya ketika posting elektif. Rata-rata pesakit menolak apabila anak buah saya ini mahu memasang jarum branula dan meminta saya pula memasangnya. Mereka mahu doktor pakar yang melakukannya. 

Mereka gagal untuk sedar bahawa, seorang doktor tidak mungkin akan menjadi pakar jika mereka tidak dilatih dengan cemerlang. - Doktor Abdul Rahman Abdul Kadir | The Reporter
Share on Google Plus
}); });