Kanak-Kanak Tertelan Serpihan Plastik Dalam Minuman Blended

Foto - Syamil

IPOH - Seorang lelaki mendakwa kakitangan di sebuah restoran makanan segera telah melakukan kecuaian sehingga menyebabkan adik perempuannya mengalami kecederaan di bahagian tekak akibat tertelan serpihan penutup mesin 'Ice Blended' yang tercampur dalam minuman Ice Blended Chocolate', Isnin lalu. 

Dalam kejadian jam 9.05 malam itu, mangsa yang menikmati makan malamnya bersama keluarga di restoran itu hanya menyedari airnya mengandungi serpihan plastik tersebut selepas merasakan tekaknya terasa sakit. 

Mangsa yang berusia 12 tahun itu hanya menyedari serpihan itu selepas airnya habis diminum. 

Gambar penemuan serpihan itu dimuat naik oleh abangnya, Syamil, di laman Twitter, cetus pelbagai reaksi netizen. 

Difahamkan, keluarga mangsa telah membuat aduan mengenai perkara itu kepada pihak restoran. Namumn respon yang diberikan tidak begitu memuaskan hati mereka. 

"Mereka kata, biasalah manusia pernah membuat kesilapan," kata Syamil di laman Twitternya. 

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Menurut Syamil, doktor telah mengesahkan bahawa trakea adiknya cedera dan berdarah serta serpihan plastik itu telah masuk ke dalam usus adiknya. 

Ekoran kejadian itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Puteh pada jam 10.13 pagi, Rabu, hari ini. Syamil juga memuat naik gambar bukti surat doktor bagi mengukuhkan dakwaannya itu. 



Menurut Syamil, keluarganya bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap restoran tersebut. 

Sementara itu, pihak pengusaha restoran makanan segera berkenaan memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha menghubungi Syamil bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan. 

"Pihak kami sedang menjalankan siasatan ke atas dakwaan yang dibuat dan akan mengambil tindakan sewajarnya. 

"Semestinya keselamatan dan kesejahteraan para pelanggan adalah keutamaan kami dan kami mohon pertimbangan semua pihak tatkala kami berusaha untuk menyiasat perkara ini," kata kenyataan yang dimuat naik jam 9.38 malam Selasa. - The Reporter
Share on Google Plus
}); });